Harus ada tarikan atau kesimpulan bagi setiap perenggan supaya pembaca bertambah faham
Antara kes sakit kepala yang saya pernah alami semasa menyemak tulisan pelajar ialah ketika cuba memahami perkara yang mahu disampaikannya. Tulisannya memenuhi beberapa helaian kertas tapi penyampaiannya tidak tersusun sehingga pembaca terpaksa membaca berulang kali untuk memahaminya.
Penyelesaian kepada masalah ini adalah melalui penyusunan perenggan. Tujuan sesebuah karangan, tulisan atau cerita dipecahkan kepada beberapa perenggan adalah untuk memudahkan pembaca mengikuti penulisan itu, memahami sedikit demi sedikit dan berehat beberapa ketika di antara perenggan. Maknanya setiap perenggan merupakan sebuah cerita kecil. Harus ada tarikan atau kesimpulan bagi setiap perenggan supaya pembaca bertambah faham apabila membaca perenggan demi perenggan.
Bagaimana menulis perenggan yang baik?
Penghasilan perenggan yang baik adalah subjektif. Penulis yang kreatif mempunyai kebolehan menyusun perkataan dengan baik sehingga pembaca tertarik untuk membaca dan menghabiskan perenggan tersebut. Pembaca juga tergerak untuk menyambung bacaan ke perenggan berikutnya kerana ingin mengetahui kesinambungan penulisannya.
Secara teknikalnya, anda boleh mengamalkan penulisan seperti berikut. Andaikan satu perenggan mempunyai empat ayat. Ayat pertama menyatakan perkara yang anda mahu sampaikan. Ayat kedua dan ketiga menghuraikan perkara tadi. Ayat yang keempat menyimpulkan apa yang dapat dipelajari dari perenggan ini.
Contohnya, saya mahu menceritakan tentang minat Ali terhadap permainan bola sepak.
Ali sangat suka bermain bola sepak. Setiap hari, sebaik sahaja pulang dari sekolah, dia terus menyarung jersi kegemarannya dan berlari ke padang bola di hujung kampungnya. Jika ada perlawanan persahabatan dengan kampung-kampung berdekatan, namanya pasti berada dalam senarai kesebelasan utama. Pak Seman sangat berbangga dengan anak sulungnya itu.
Perkara utama yang mahu disampaikan adalah tentang Ali yang sangat suka bermain bola sepak. Contoh minat yang tinggi itu disampaikan menerusi tabiatnya setiap hari dan juga penyertaannya dalam kejohanan permainan bola sepak. Apa yang dapat dipelajari dari perenggan ini adalah bahawa perkara ini merupakan satu kebanggaan kepada bapanya, Pak Seman.
Perenggan yang dibina secara teknikal di atas merupakan satu contoh sahaja. Ada berbagai kaedah penyampaian lain yang lebih kreatif dapat digunakan bagi menyampaikan kesimpulan yang sama. Walaubagaimanapun, kaedah teknikal ini berguna untuk mereka yang masih mencari rentak dalam penulisan.
No comments:
Post a Comment